MERU - Skim Mesra Usia Emas yang dilancarkan awal bulan lalu di seluruh daerah di negeri Selangor merupakan satu skim bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan warga emas di negeri ini yang banyak berjasa kepada pembangunan dari segi ekonomi dan sosial.
Ianya merupakan satu skim khairat kematian atau bentuk perlindungan bernilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang berdaftar secara rasmi selepas mereka disahkan meninggal dunia.
Skim tersebut yang turut dilancarkan oleh pihak Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru baru-baru ini mendapat sambutan baik dari kebanyakan warga emas yang tinggal di sekitar kawasan ini.
Pihak PKM DUN tersebut mula menyampaikan pengagihan skim tersebut kepada penerima yang berkelayakan iaitu waris kepada warga emas yang telah meninggal dan berdaftar di bawah skim tersebut.
Kelmarin telah diadakan satu majlis penyampaian secara ringkas wang sumbangan khairat kematian di bawah skim tersebut kepada waris warga emas yang meninggal dunia mulai 1 Oktober lalu di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN yang terletak di Taman Dato Bandar di sini.
Wang sumbangan skim berkenaan tersebut disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman kepada 10 waris warga emas yang terlibat yang mana masing-masing menerima sumbangan pendahuluan sebanyak RM1,000.
Menurut Abdul Rani, penyerahan wang sumbangan tersebut akan dilakukan secara dua peringkat iaitu wang tunai RM1,000 akan diserahkan sebaik sahaja warga emas tersebut meninggal dunia dan wang sumbangan selebihnya akan diserahkan dalam masa dua bulan selepas itu.
“Skim Mesra Usia Emas ini adalah satu skim yang mampu memberi manfaat kepada rakyat terutamanya untuk meringankan beban waris kepada warga emas bagi urusan pengebumian dan juga untuk menguruskan kehidupan mereka pada masa akan datang.
“Kita amat mengalu-alukan semua warga emas yang ada di kawasan ini untuk mendaftar di bawah skim ini dan proses pendaftaran boleh dijalankan di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN dan di pejabat ketua kampung masing-masing,” katanya.
Difahamkan Skim Mesra Usia Emas ini terbuka kepada semua warga emas di negeri ini berumur 60 tahun ke atas dan lahir di negeri Selangor ataupun lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 dan juga warga emas yang bermastautin di Selangor lebih 15 tahun.
Tambah Abdul Rani, peluang ini perlu diambil oleh semua warga emas di kawasan ini bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mereka.
“Kita berharap semua warga emas di kawasan ini akan dapat merebut peluang ini kerana ia mampu meringankan beban kehidupan keluarga mereka pada kehidupan yang mendatang sekiranya mereka meninggal dunia,” katanya.
Sinar Harian 03/11/08