Laman Web Skim Mesra Usia Emas

Laman Web Skim Mesra Usia Emas
Sila klik untuk melawati Laman Web Resmi Skim Mesra Usia Emas.

Thursday, February 19, 2009

Program Pemeriksaan Kesihatan dapat sambutan

MERU - Program Pemeriksaan Kesihatan anjuran Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru kerap mendapat sambutan daripada orang ramai tanpa mengira bangsa, agama dan usia apabila setiap kali ia dianjurkan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan yang diatur di bawah Program Mesra Rakyat DUN Meru dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan silaturahim antara penduduk bersama pemimpin masyarakat.

Kelmarin, program tersebut diadakan di Taman Klang dan majoriti penduduk berbangsa Cina di taman perumahan terbabit memberi sambutan yang baik kepada aktiviti secara percuma itu.

Program yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman itu berjaya menarik lebih 100 penduduk untuk membuat pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan tahap kandungan gula dalam darah.

Dr Abdul Rani berkata, program seumpama itu adalah pertama kali dianjurkan di kawasan terbabit dan daripada sambutan yang diterima, ia menunjukkan respons yang lebih baik daripada penduduk.

“Melalui program ini juga kita mengambil kesempatan untuk menghebahkan serta mempromosikan semua jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak Pejabat Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru agar penduduk di sini mendapat maklumat dan faedah daripadanya,” katanya.

Beliau berkata, selain pemeriksaan kesihatan percuma pihaknya juga membuka kaunter khas untuk memudahkan penduduk warga emas di situ membuat pendaftaran Skim Mesra Usia Emas bagi yang layak.

“Ramai warga emas yang mengambil kesempatan untuk mendaftar dan ini menunjukkan mereka mula sedar akan faedah yang mampu diperoleh jika mendaftar di bawah skim ini terutamanya untuk keluarga atau mereka yang akan ditinggalkan apabila meninggal dunia nanti.
“Pada program ini kita juga mendapat kerjasama dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuka kaunter pendaftaran untuk memudahkan orang ramai yang belum mendaftar bagi menjadi pengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurutnya, program yang dirancang berlangsung selama dua jam iaitu bermula dari jam 8 pagi hingga 10 pagi di tapak pasar pagi Jalan Kedah itu terpaksa dilanjutkan selama hampir dua jam lagi kerana orang ramai tidak putus-putus datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di mana ia turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Gary Tai Teck Chuan.

Sinar Harian 16/12/08