Laman Web Skim Mesra Usia Emas

Laman Web Skim Mesra Usia Emas
Sila klik untuk melawati Laman Web Resmi Skim Mesra Usia Emas.

Sunday, February 22, 2009

TAWAS tanda keprihatinan kerajaan negeri

SHAH ALAM - Usaha mewujudkan keseimbangan dalam segala aspek pembangunan amat penting bagi Selangor mengekalkan status negeri maju.

Sehubungan itu, barisan kepimpinan baru yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini sejak Mac lalu merencanakan agenda negeri dengan menyusun pelbagai strategi pembangunan yang merentasi kaum, agama dan peringkat umur agar matlamat yang diingini, tercapai.

Sempena 100 Hari pentadbiran kerajaan baru pada 20 Jun lepas, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi manfaat rakyat di negeri ini.

Kerajaan negeri telah mengumumkan tujuh dasar barunya bermula dengan pemberian 20 meter padu air percuma, seterusnya kerajaan negeri turut melancarkan enam program lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) antara tujuh dasar baru yang dicanangkan oleh kerajaan negeri.

Tabung berkenaan telah dilancarkan pada malam sambutan ambang merdeka Ogos lepas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan ia merupakan tanda kasih serta keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyatnya.

Sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan tabung seumpama, program ini dilihat dapat membantu meringankan beban rakyat.

Ketua TAWAS, Dr Mohamed Khairi Mohd Isa berkata, penubuhan tabung berkenaan adalah hasil inisiatif Abdul Khalid yang mahu memastikan kerajaan PR Selangor mengutamakan kebajikan rakyat yang telah memilih mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Program TAWAS ini merupakan lanjutan pengalaman dan idea Abdul Khalid sendiri, seperti yang dihasratkan oleh beliau sebelum ini yang mahu kebajikan rakyat diutamakan agar mereka dapat berkongsi hasil pembangunan secara adil, ” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan tabung itu lahir berdasarkan kesedaran pucuk pimpinan PR yang merasakan kekayaan sesuatu negeri itu tidak bermakna jika ia tidak dikongsi bersama rakyat.

“Tabung itu merupakan hadiah daripada misi Menteri Besar kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Menceritakan keunikan tabung tersebut, Dr Khairi berkata ia mampu dinikmati semua kaum di Selangor tanpa mengira kelompok, bangsa atau agama tertentu.

“TAWAS mensasarkan bayi yang lahir pada 1 Januari 2008 dan syarat layak membuka tabung ini, ibu atau bapa lahir di Selangor,” katanya.

Tabung itu turut terbuka kepada ibu bapa warga Selangor yang melahirkan anak di luar negeri Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri hendak memberi tabungan permulaan sebanyak RM100 bagi setiap seorang dan setiap bayi yang menyertai program tabungan itu bakal dilindungi insurans sehingga mereka berusia 18 tahun.

“Setelah genap usia 18 tahun, anak-anak yang mengikuti program TAWAS berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil caruman dalam dana pelaburan tersebut,” katanya.

Tambah Dr Khairi, bagi ibu bapa yang memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka boleh mendapatkan borang rasmi dan menyerahkan borang tersebut bersama dokumen yang diperlukan di Pusat Khidmat MES di lobi Bangunan SSAAS.

“Setiap pendaftaran yang dibuat diberi sijil pelaburan sebagai bukti caruman,” katanya.

Ketika menjelaskan bilangan keahlian setakat Oktober 2008, Dr Khairi berkata pihaknya kini menerima 500 orang keahlian.

Katanya jumlah itu masih sedikit jika dibandingkan dengan anggaran yang dibuat oleh pihaknya iaitu sebanyak 66,000 (untuk tahun ini) peserta yang layak dan memenuhi syarat.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau memberitahu pihaknya kini sedang berusaha memperkenalkan program berkenaan sehingga ke akar umbi memandangkan rakyat negeri ini masih belum sedar terhadap kewujudan tabung tersebut.

“Misi kami sekarang untuk menyebarkan maklumat dan menaikkan lebih banyak pendaftaran melalui penyertaan dalam program yang dianjurkan oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Selain kempen, Dr Khairi berkata pihaknya juga berhasrat menyebarkan semua maklumat kepada pejabat daerah, pejabat kerajaan tempatan, hospital, klinik dan sebagainya bagi meningkatkan jumlah penyertaan sedia ada.

SINAR HARIAN Jumaat 17/10/08