Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, peruntukkan tersebut adalah bayaran peringkat kedua Skim MUE selaras dengan seruan kerajaan negeri Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dalam menunaikan tanggungjawab kebajikan kepada rakyat di negeri ini.
Menurutnya, sumbangan kepada pewaris ini diharap dapat memberi peluang kepada ahli keluarga dalam meringankan beban mereka di samping membuktikan komitmen kerajaan negeri yang prihatin terhadap usaha dilakukan kerajaan negeri.
"Di Kuala Langat sahaja kita mengharapkan pendaftaran Skim MUE ini meningkat dari masa ke semasa supaya dapat memberi peluang kepada rakyat menikmati kekayaan negeri secara bersama.
"Dalam pada itu, saranan terhadap meningkatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat menarik masyarakat untuk mendaftar menyertai skim ini seterusnya memberi peluang kepada kerajaan meningkatkan kebajikan rakyat dalam setiap program yang dianjurkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bayaran manfaat peringkat kedua Skim MUE di Dewan Seri Jugra, semalam.
Rodziah berkata, pihaknya sentiasa peka terhadap kebajikan rakyat melalui pelbagai cara untuk menarik Masyarakat menyertai program ini di samping dapat memberi peluang kepada masyarakat berfikir berkaitan kebajikan yang telah diperuntukan kerajaan negeri.
Beliau berharap penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Telok Datuk, Morib dan Tanjung Sepat dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan agar masyarakat dapat menikmati hasil kekayaan bersama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau akan berusaha menarik lebih ramai lagi masyarakat setempat mendaftar keahlian skim tersebut, malah pihaknya menggalakkan ketua kampung mencari golongan warga emas untuk mendapat manfaatnya.
Menurutnya, program ini diharapkan akan terus menjadi pilihan kepada warga emas di daerah ini supaya rakyat mendapat menikmati hasil kekayaan bersama.
Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya menggunakan wang tersebut sebaiknya tanpa menyalahgunakannya.
Ahmad Yunus berkata, di Sijangkang sahaja beliau dapat menarik sebilangan besar warga emas untuk menyertai skim tersebut dan mengharapkan di DUN lain turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Hadir sama, Penolong Pegawai Pembangunan Pejabat Daerah / Tanah Kuala Langat, Mohd Yasin Alwi.
SINAR HARIAN Jumaat 27/02/2009