PARIT SATU BARAT - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Satu Barat dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Kawasan Sabak menganjurkan Majlis Dialog Bersama Agensi Kerajaan di mana ia melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini, semalam.
Pengurus PKM Kawasan Sabak, Jamsari Marsom berkata, majlis dialog yang menemukan penduduk dengan agensi kerajaan di samping pusat khidmat bergerak itu memberikan pendedahan mengenai fungsi dan peranan jabatan kerajaan yang ada di daerah ini serta khidmat yang disediakan untuk kebajikan masyarakat setempat.
“Dalam masa yang sama, penduduk juga berpeluang mengenali pegawai-pegawai yang terlibat bersama agensi berkenaan dalam membantu penduduk menyelesaikan masalah.
“Hari ini (semalam) kita ada Juruteknik JPS Kawasan Panchang Bedena Barat, Ikmal Arifin Hashim dan Pegawai Lembaga Zakat Selangor, Azizul Fitry Salam dan Mohd Juwahir Pa’iman yang sudi hadir berdialog,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Hadir sama, Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam, Nordin Atan.
Menurut Jamsari, tujuan utama program terbabit adalah untuk memudahkan segala urusan rasmi penduduk dengan pihak kerajaan dalam menangani pelbagai masalah dan memberikan cadangan.
Dalam masa yang sama katanya, program tersebut diharapkan dapat mengeratkan silaturahim di antara pihak kerajaan dan penduduk.
"Hubungan yang baik ini akan dapat membantu mengatasi permasalahan yang mungkin timbul pada masa akan datang.
"Usaha ini diharapkan dapat mencapai objektifnya untuk menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain di samping dapat memastikan wujudnya kerjasama antara penduduk dan kerajaan dalam mengatasi masalah secara bersama.
“Kita juga berharap penduduk mengetahui perkhidmatan yang disediakan dan selepas ini boleh berurusan dengan jabatan berkenaan sekiranya memerlukan perkhidmatan mereka,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut juga ia sedikit sebanyak memberikan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Antaranya mengenai pemberian 20 meter padu air percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Hadiah Anak Masuk Universiti dan program peningkatan hasil dari bahan batuan dan mineral.
Sinar Harian 15/12/08
No comments:
Post a Comment